Wednesday, September 08, 2004 | By: cipthowiryawanchannel

Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah tuhan yang mentadbir alam semesta, mencipta setiap kejadian dan berkuasa menentukan sesuatu. Sesungguhnya manusia adalah sebaik-baik kejadian sebagaimana yang digambarkan oleh Allah di dalam firmannya

Sesungguhnya telah Aku ciptakan manusia itu sebaik-baik kejadian. (al-Tin : 4)

Begitulah fitrah asal kedudukan manusia yang telah Allah kurniakan satu kedudukan yang cukup tinggi di kalangan makhluk ciptaan-Nya. Begitulah jua perumpamaan yang diletakkan pada anak yang baru dilahirkan. Dia adalah sesuci murni kain putih yang sedia dicorak oleh kedua ibu bapa. Namun atas kelemahan dan kenaifan manusia itu sendiri, kadang kala mereka gagal untuk mencorak anak-anak mengikut acuan dan adunan yang telah ditinggalkan oleh junjungan besar Muhammad SAW. Ia amat bertepatan dengan hadith yang diriwayatkan oleh Al-bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah:

"Anak-anak dilahirkan secara fitrah (suci), ibu bapalah yang mewarnainya samada Yahudi , Nasrani atau Majusi."

Lantas lahirlah generasi yang buta agama dan miskin akal budi Islam.Bak kata pepatah melayu, 'Harapkan pagar, pagar makan padi'. Sepatutnya generasi umat akhir zaman yang telah dianugerahi gelaran sebaik-baik umat, dijanjikan dengan syafaat Nabi dan yang terdahulu menjejaki syurga Allah sebelum umat para anbiya' terawal, kita sepatutnya menjadi pendokong kepada tertegaknya Islam di muka bumi ini. Malangnya kita yang mengaku Islam, mengucap kalimah iman dan kalimah amal, rupanya indah khabar dari rupa. Buah yang dilihat sempurna tiada cacat, rosak isinya dirobek ulat.

Kalau kita sorot kembali sirah yang tersurat di dalam al-Quran, Allah Ta'ala telah menggambarkan kerosakkan yang bakal dilakukan oleh manusia apabila kemahuan penciptaan manusia itu diprotes oleh para malaikat.

Firman Allah :Ingatlah ketika tuhanmu berfirman kepada para malaikat : "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi". Mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakkan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?". Tuhan berfirman : "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui". ( al-Baqarah : 30)

Timbul persoalan apakah Allah tidak tahu bahawa manusia akan melakukan kerosakkan di muka bumi ini? Sudah tentu para Malaikat tidak akan timbulkan persoalan ini sekiranya natijah kejadian manusia itu telah diketahui. Seolah-olah kita mengarahkan seorang yang yang cacat ke medan peperangan, sudah pastinya seolah-olah menyerahkan nyawa secara percuma kepada musuh. Tetapi kalau diajarkan kepada orang cacat tadi tentang segala ilmu mempertahankan diri dan muslihat peperangan, maka, akhirnya dia akan disanjung sebagai seorang pejuang yang handal. Begitulah halnya dengan manusia. Allah itu Maha Mengetahui mengatasi pengetahuan sekelian makhluk-Nya. Sebelum dicampaknya Nabi Allah Adam dan Siti Hawa ke dunia, Allah telah mengajarkan Adam dengan pelbagai ilmu yang akhirnya itulah yang telah menaikkan darjat manusia itu semulia-mulia kejadian sekelian makhluk-Nya.

Lantas diperintahkan oleh Allah kepada sekelian Malaikat yang ada untuk sujud tanda kemulian dan kehormatan yang telah dikurniakan pada manusia, bukan sebagai hamba kerana sujud sebagai hamba hanya mutlak kepada Allah. Kecuali Iblis, semuanya sujud patuh kepada perintah Allah lantaran sifat enggan dan takbur pada diri kerana asal kejadiannya yang jauh lebih mulia daripada manusia. Ingatlah, cubalah kita jauhi daripada sifat enggan atau degil pada perintah Allah dan takbur (bangga dan sombong) dengan kemuliaan atau kelebihan yang ada pada diri kerana sifat ini adalah kepunyaan syaitan, bukan manusia!

Begitulah asal kejadian manusia yang pada fitrahnya semulia-mulia hamba di sisi Allah. Tetapi atas kelemahan dan kelalaian manusia itu, maka Allah telah memberi pengajaran supaya manusia senantiasa waspada dengan ancaman syaitan yang tidak putus asa menyesatkan umat manusia.

Firman Allah :Dan kami berfirman: "Hai Adam, diamilah oleh kamu dan isteri kamu syurga ini, dan makanlah makanannya yang banyak lagi baik di mana sahaja yang kamu sukai dan janganlah kamu dekati pohon ini, yang menyebabkan kamu termasuk golongan orang-orang yang zalim. Lalu keduanya digelincirkan oleh syaitan dari syurga itu, dan dikeluarkan dari keadaan nikmat syurga dan kami berfirman :"Turunlah kamu! Sebahagian kamu menjadi musuh bagi yang lain, dan bagi kamu ada kediaman di bumi, dan kesenangan hidup sampai waktu yang ditentukan"(al-Baqarah :35-36)

Firman Allah lagi :"Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendah manusia." (al-Tin : 5)

Begitulah rentetan kisah awal penciptaan manusia yang penuh dengan hikmah dan pengajaran sebagai tauladan umat manusia. Namun, seringkali manusia itu lupa dan lalai lantaran terlalu asyik dan leka mengecapi nikmat yang bersifat sementara. Barangkali mereka lupa bahawa ianya kurniaan Allah Yang Esa. Jangan kita lupa, bahawa Allah menguji manusia bukan sahaja di dalam keadaan kesusahan, bahkan juga di dalam kesenangan. Dan kebiaasaannya manusia mudah tertewas apabila berada di dalam keadaan senang. Qarun adalah contoh terbaik sebagai tauladan. Seorang sahabat terkenal Abdul Rahman bin 'Auf r.a, sahabat rapat Rasulullah SAW dan jutawan arab yang memiliki kekayaan hasil perdagangannya, pada suatu ketika pernah diuji oleh Allah. Satu ketika beliau diperkhabarkan oleh seorang lelaki bahawa kapal dagangannya yang sarat dengan muatan telah terbakar. Dengan tenang beliau berkata "Alhamdulillah!". Tidak lama selepas itu, lelaki tadi bertemu semula Abdul Rahman bin 'Auf menyatakan bahawa kapal yang terbakar itu bukanlah miliknya. Dengan tenang beliau berkata, "Alhamdulillah!". Maka hairanlah lelaki tadi mengapa beliau bertahmid "Alhamdulillah" walaupun berada di dalam dua kondisi yang berbeda. Maka jawab Abdul Rahman bin 'Auf, "Aku bersyukur kepada Allah kerana samada kapalku terbakar mahupun tidak, imanku tidak kurang walaupun sedikit.

"Dalam kisah yang lain, Nabi junjungan besar Muhammad SAW amat terlalu sedih ketikanya isteri tercinta di ambang maut. Ditanya oleh Siti Khadijah mengapa baginda terlalu sedih. Lantas baginda menjawab baginda amat sedih kerana daripada seorang wanita hartawan, kini hanya tinggal sehelai sepinggang kerana harta habis diinfakkan pada jalan Allah. Walaupun menyedari keadaannya yang begitu naif, Siti Khadijah sempat berwasiat kepada Nabi SAW sebelum menghembuskan nafas pemisah jasad dan nyawa, sekiranya pada ketika itu umat Islam berperang dan memerlukan jambatan untuk menyemberangi parit atau sungai, maka gunakanlah tulang belulangnya sebagai jambatan agar umat Islam dapat menyeberangi sungai itu.

Begitu tingginya nilai mujahadah para sahabat sehingga meletakkan segala-galanya hanya pada Allah. Segala apa yang ada diinfakkan untuk kemudahan dan keperluan menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini. Segala kemewahan yang ada dijadikan sebagai bahan-bahan membina jambatan ke syurga.

0 comments: