Menurut bahasa orientalisme diertikan dengan ilmu tentang ketimuran atau pengajian tentang dunia Islam manakala orientalis adalah orang yang pakar dalam bidang pengajian ketimuran atau pengajian Islam. Oleh itu, orientalisme adalah kajian akademik yang dilakukan oleh para ilmuan Barat mengenai Islam dan kaum Muslimin dari seluruh aspeknya termasuk akidah, syariah, kebudayaan, peradaban, sejarah dan manusia. Ia bertujuan untuk membentuk pandangan umum dan dalam hal-hal tertentu untuk menguasai dunia Islam yang mencerminkan latar belakang ideologi, sejarah dan kebudayaan antara Barat dan Timur.
Orientalisme adalah disiplin akademik yang digunakan Barat untuk mendekati Timur secara sistematik sebagai topik ilmu ketimuran, penemuan dan pengalaman. Dengan pendekatan orientalisme pula, Barat berhasil memantapkan kehadirannya dalam bentuk ketenteraan, ekonomi, budaya dan ideologi di hampir seluruh dunia Islam yang kini pengaruhnya masih dirasakan kuat.
Dalam buku Gerakan Keagamaan dan dan Pemikiran yang disusun oleh WAMY, orientalisme adalah gelombang pemikiran yang mencerminkan berbagai kajian ketimuran yang berkaitan dengan Islam.Biasanya aspek yang menjadi kajian golongan ini seperti agama, seni, bahasa dan kebudayaan. Kesan dari aktiviti orientalisme menghasilkan pandangan besar dalam membentuk persepsi Barat terhadap Islam dan dunia Islam. Persepsi yang terbentuk iaitu kemunduran pola fikir dunia Islam dalam rangka pertarungan peradaban antara Timur dan Barat. Kajian orientalisme memiliki karakteristik pokok yang tidak dapat dipisahkan dari pengertian khusus yang secara singkatnya adalah bahawa orientalisme merupakan kajian yang mempunyai ikatan yang kuat dengan penjajahan Barat ke atas dunia Timur, khususnya Britian dan Perancis sejak akhir abad ke 18 hingga akhir Perang Dunia Kedua. Kemudian diwariskan kepada Amerika Syarikat yang mewakili negara-negara imperialis pasca Perang Dunia Kedua hingga sekarang.
Di samping itu, orientalisme juga berkait rapat dengan missionari. Hal ini dapat dilihat banyaknya kaum Kristian dan Yahudi yang bekerjasama dengan kaum orientalis untuk melakukan kajian Islam yang bertujuan untuk mengetahui celah-celah yang dapat dimasuki untuk memutar belit fakta kebenaran Islam, menaburkan keraguan dan berusaha untuk menjauhkan mereka daripada ajaran Islam. Tidak ada satu kajian akademik yang mendapat nasib lebih buruk daripada kajian mengenai keislaman di dunia Barat. Sejak awal memang telah terdapat akar-akar permusuhan Yahudi dan Kristian terhadap Islam. Golongan ahli Kitab ketika mengetahui kedatangan nabi Muhammad, mereka segera mendustakannya dan memutar belit peranan nabi sebagai pembawa amanah Allah dan al-Quran berkali-kali memberi tantangan atas tuduhan mereka. Oleh itu, sesuatu kajian yng bersifat apa pun di dunia Barat mengenai pengajian Islam baik yang bersifat polimek, agama, perdagangan, diplomatik, ilmiah dan akademik terus berlangsung sejak masa lalu yang sebahagian besarnya masih diwarnai oleh akar-akar kebencian yang mendalam.
Mereka mendakwa kemunduran umat Islam adalah disebabkan mereka terpengaruh dengan tradisi Islam yang ketinggalan zaman. Oleh itu, kaum orientalis berkesimpulan bahawa satu-satunya jalan menuju kemajuan adalah dengan mengadopsi materialisme Barat dan tamadunnya. Mereka juga menimbulkan keraguan terhadap Islam dan kaum Muslimin yang berkisar pada; bahawa al-Quran adalah hasil karya nabi Muhammad, hadith nabi tidak boleh dijamin kebenarannya, Islam tidak lebih daripada gerakan politik di dunia Arab sahaja, Islam anti kehidupan metropolitan dan sebagainya. Anggapan-anggapan keliru hampir selalu mewarnai potret yang ditulis oleh kaum orientalis mengenai agama, kebudayaan, sejarah dan peradaban Islam.Satu-satunya jalan untuk mengatasi kebatilan yang digemburkan oleh Barat adalah tanggungjawab ilmuan Muslim untuk segera mendirikan pusat-pusat pengkajian yang menyelidik kebatilan dan kekeliruan ilmiah kaum orientalis.
Dengan kata lain, untuk menghancurkan kebatilan pemikiran harus dengan pemikiran yang lurus berdasarkan logika dan hujah akal. Walaupun begitu, tidak kesemuanya orientalis adalah jahat. Orientalis turut memberi sumbangan yang bererti bagi kajian ketimuran dan keislaman. Dunia orientalis telah melahirkan sejumlah sarjana yang bersimpati yang mengabdikan sebahagian besar hidupnya untuk menkaji masalah-masalah keislaman semata-mata dengan tujuan ilmiah murni yang dijiwai semangat dan sikap objektif. Jika bukan kerana jasa-jasa mereka, banyak karya-karya ulamak Muslim klasik barang kali tidak dapat ditemukan sekarang. Yang lebih positif lagi, tidak sedikit di antara mereka yng memeluk Islam setelah terlebih dahulu mengadakan pengkajian. Kemudian mereka menangkis karya-karya orientalis yang lain yang diwarnai sikap bias dan kedengkian.
Namun begitu, mempelajari orientalis juga merupakan keperluan kepada orang Islam bagi tujuan mengkaji dan menelaah sikap orang bukan Islam tentang Islam, al-Quran, kenabian dan umat Islam yang ilmiah. Perkara ini merupakan kewajipan bagi orang Islam untuk mengetahui penilaian pihak lain terhadap ajaran Islam dan merupakan haknya untuk nenelaah pandangan dan penilaian tersebut secara kritis. Di samping itu, menyanggah tuduhan-tuduhan kaum orientalis terhadap Islam dan umat Islam dengan mengungkap, menganalisisa dan meluruskan tuduhan-tuduhan baik disengaja ataupun kerana kesalahan metodologi dan material. Ia juga bertujuan menumbuhkan kesedaran terhadap kesalahan yang dilakukan oleh orientalis kerana kejahilan, salah faham atau kerana sempitnya wawasan keislaman yang mereka miliki.Orang Islam juga perlu mengambil manfaat hasil karya orientalis khususnya kajian objektif ilmiah murni yang tidak dicemari motif-motif misi keagamaan dan penjajahan terutama beberapa orientalis moden seperti Thomas Arnold.
Orientalis yang menunjukkan sikap bermusuhan dan tidak ilmiah sebenarnya bukan sahaja merosakkan citra rasa Islam akan tetapi juga mencemari nama baik kaum orientalis yang objektif, sehingga setiap karya orientalis dipandang sebagai kumpulan sikap permusuhan terhadap Islam yang diilmiahkan.Sering kali juga kaum orientalis melemparkan Islam sebagai agama keganasan dan orang Islam sebagai ganas.
Mereka mendakwa Islam masih ganas kepada mereka berdasarkan kepada hanya beberapa kerat pemimpin Islam yang berani tampil memberi pendapat yang bertentangan dengan pendapat mereka ataupun beberapa peristiwa ganas yang dilakukan oleh segelintir pejuang Islam kerana kezaliman Barat sendiri. Niat mereka adalah untuk memberi suatu persepsi terhadap Islam iaitu Islam itu ganas dan jahat.Mereka tidak perlu memberi alasan lagi jika mereka ingin melakukan sebarang kekejaman terhadap orang Islam.
Justeru itu, orang Islam harus sentiasa berwaspada dan mengambil langkah yang positif dan strategik untuk mengatasi hal ini. Antara langkah yang harus diambil ialah menjelaskan tentang agama Islam melalui pelbagi cara termasuk penulisan dan media massa yang berdasarkan fakta dan bukan sekadar kata-kata retorik. Orang Islam juga harus berusaha meningkatkan keilmuan terutama dari segi sains dan teknologi yang boleh menandingi kemampuan orang-orang Barat dan menampilkan cara hidup yang lebih progresif, dinamik, mampu menangani krisis secara bijak dan mampu menggerakkan manusia ke arah kemajuan.
Oleh itu, menjadi kewajipan orang Islam di Malaysia untuk berusaha mewujukan satu masyarakat yang harmonis dengan meningkatkan kemajuan dirinya melalui prinsip Islam. Islam harus dirasai oleh orang Islam dan orang bukan Muslim dalam segala aspek kehidupan di negara ini kerana agama Islam rahmat untuk alam sejagat.
Di Petik Dari ABIM
0 comments:
Post a Comment