Monday, August 09, 2004 | By: cipthowiryawanchannel

Darwin Dan Evolusi 2

Sebahagian besar masyarakat menerima segala yang mereka dengar daripada saintis sebagai sesuatu yang benar belaka. Tidak terlintas di fikiran mereka bahawa para saintis juga mungkin prejudis terhadap sesuatu fahaman atau falsafah. Fakta kebendaan yang dikemukakan oleh evolusionis kepada masyarakat umum melalui saluran sains, merupakan contoh yang jelas terhadap ketaksuban mereka terhadap suatu fahaman. Sebagai contoh, walau pun mereka menyedari bahawa kejadian yang berkecamuk tidak akan menghasilkan apa-apa melainkan kejanggalan dan kekeliruan, mereka masih mendakwa bahawa aturan, perancangan dan rekaan mengagumkan yang dapat dilihat pada alam dan hidupan telah terbentuk secara kebetulan.

Tambahan pula, seorang ahli biologi akan mendapati terdapatnya keseimbangan yang sukar difahami di dalam molekul protein yang menjadi blok pembinaan hidupan, maka amat mustahil untuk kita katakan bahawa ianya terjadi secara kebetulan sahaja. Lebih-lebih lagi, dia mendakwa protein ini berasal daripada kerak bumi yang primitif dan kemudian terkesan secara kebetulan berbilion-bilion tahun dahulu. Tidak cukup dengan itu; dia juga mendakwa tanpa ragu-ragu bahawa tidak hanya satu, tetapi berjuta-juta protein terbentuk secara kebetulan dan bercantum untuk membentuk suatu sel hidupan yang pertama. Lebih daripada itu, dia juga berterusan mempertahankan pendapatnya dengan kedegilan yang tuli. Individu ini adalah seorang saintis "evolusi".

Sekiranya saintis yang sama ini berjumpa dengan tiga bongkah bata bertindan di antara satu sama lain, ketika berjalan-jalan di suatu lorong, pasti dia tidak akan beranggapan batu bata ini telah bercantum secara kebetulan dan merangkak naik antara satu sama lain, juga secara kebetulan. Bukan itu sahaja, malah sesiapa yang membuat andaian seperti itu akan dianggap tidak siuman.

Bagaimana mungkin manusia yang dapat berfikiran rasional dalam kes-kes biasa seperti ini, tetapi berubah menjadi tidak waras apabila memperkatakan tentang kewujudan mereka sendiri?

Tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa sifat ini diterima (secara tidak jujur) di atas nama sains; sains menuntut pengambilan kedua-dua alternatif untuk dipertimbangkan apabila terdapat dua kemungkinan yang berbeza di dalam suatu kes yang sama. Dan sekiranya suatu kemungkinan itu lebih rendah, seperti hanya satu peratus, maka secara rasional dan saintifiknya diambil alternatif yang lain, yang kebarangkaliannya adalah 99 peratus, sebagai alternatif yang sah.

Mari kita teruskan, dengan berpegang kepada asas saintifik ini. Terdapat dua pandangan yang boleh menjelaskan bagaimana kehidupan boleh wujud di muka bumi ini; (I) yang pertama ialah semua benda hidup ini telah diciptakan oleh Allah s.w.t di dalam bentuk struktur yang sempurna, (2) yang kedua ialah kehidupan ini terbentuk secara tidak sengaja atau secara kebetulan. Yang kedua ini adalah pendapat teori evolusi.

Jika kita lihat pada data-data saintifik, iaitu biologi molekul sebagai contoh, kita akan dapati bahawa tidak mungkin sebuah sel - walau hanya satu daripada berjuta-juta protein yang terdapat di dalam sel - dapat wujud secara kebetulan, sebagaimana yang didakwa oleh evolusionis. Seperti yang akan kami terangkan di dalam bab-bab yang seterusnya, perkiraan kebarangkalian juga telah membuktikannya beberapa kali. Oleh itu, pandangan evolusionis terhadap pembentukan hidupan mempunyai kebarangkalian sifar untuk menjadi betul.

Ini bererti pandangan pertama adalah seratus peratus betul. Iaitu kehidupan ini terjadi secara berencana (bukannya kebetulan). Atau dengan kata lain, ia telah diciptakan (oleh Allah). Semua benda hidup wujud dengan ciptaan seorang Pencipta Yang Maha Berkuasa, Yang Maha Bijaksana dan Yang Maha Tinggi IlmuNya. Kenyataan ini bukannya suatu andaian, tetapi ia adalah suatu konklusi yang normal dan dapat diterima oleh akal fikiran, logik dan sains.

Dalam keadaan ini, para saintis evolusi sepatutnya menarik balik dakwaan mereka dan menyokong fakta yang telah dibuktikan ini. Jika tidak, maka ia menunjukkan bahawa dia adalah seorang individu yang mengorbankan sains untuk kepentingan falsafah, ideologi dan dogmanya , lebih daripada menjadi seorang saintis yang sejati.

Kemarahan, kedegilan dan prejudis saintis ini makin meningkat dan terus meningkat setiap kali dia berhadapan dengan kebenaran. Perangainya dapat dijelaskan dengan sepatah perkataan "kepercayaan" (atau keimanan). Tetapi ia hanyalah suatu kepercayaan yang membuta tuli, memandangkan tidak terdapat sebarang keterangan yang boleh diterima untuk membuktikan fakta-fakta yang hanya direka-reka di dalam imaginasinya sendiri.
Memang mengejutkan banyak pihak tentng mklumat ini..apapun tunggu informasi seterusnya..

0 comments: